Anda di sini

Perjalanan Haji

IBADAT haji adalah wadah untuk Muslim memohon keampunan kerana kesalahan lalu dan meminta dimakbulkan hajat.

Jemaah perlu pastikan niat ikhlas, sihat serta rela belanjakan harta untuk jadi tetamu di Tanah Suci

SESIAPAPUN boleh berkata bahawa mereka sudah mengunjungi suatu tempat paling cantik di dunia, namun cantik pada mata, belum tentu hati setuju. Jika hati akur pada pandangan mata sehingga boleh menggetarkan sukma paling halus barulah boleh dikatakan tempat itu memang membawa kedamaian.

Seperti ketika memandang Kaabah al-Musyarrafah yang berdiri dengan mesranya, seolah ia memanggil tetamu Allah SWT dengan panggilan dari syurga. Maka hati yang datang dengan susah payah itu berusaha masuk ke pintu rahmat-Nya. Tenggelam dalam suasana syurga dijanjikan, gambaran kenikmatan syurga itu boleh dirasai dengan cara menyerahkan hati di bawah naungan Kaabah.

Bukankah Baginda SAW mengungkapkan keindahan syurga dalam perjalanan haji melalui sabda yang bermaksud:

“Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syurga di akhirat yang belum pernah dirasai tetapi di dunia seolah-olah sudah merasai nikmatnya iaitu saat memandang Kaabah dalam kekhusyukan ibadah.

Aneh dan menakjubkan! Orang yang mampu tetapi belum bersedia menyerahkan hatinya kepada Baitullah. Mungkin mereka takut sebab pernah mendengar ancaman daripada sesetengah orang bahawa siapa yang melakukan kejahatan akan dibalas tuntas di Tanah Haram.

Padahal, tidak ada satu pun dalil daripada nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW yang membenarkan cerita karut itu. Kita mungkin pernah membaca pengalaman jemaah haji yang serba pelik dan ditokok tambah dengan pembohongan serta kepalsuan sehingga ada yang memberi gambaran menakutkan mengenai kembara cinta di kaki Kaabah.

Padahal Allah SWT tidak akan pernah mengurangi setitis pun rahmat-Nya kepada orang yang menyerahkan hatinya untuk Allah SWT. Mereka yang datang sebagai tetamu Allah SWT ini bahkan dijanjikan keampunan dan di makbulkan setiap permintaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, jika mereka meminta daripada-Nya, Dia akan memakbulkannya. Dan jika mereka meminta ampunan-Nya, Dia akan mengampunkan mereka.” (Hadis riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Untuk mendapatkan syurga, ampunan dan dimakbulkan doa, diperlukan persediaan rapi, pengorbanan yang tidak sedikit dan keberanian menghadapi risiko tidak diduga kerana haji adalah ibadah paling besar selepas beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Nabi SAW ditanya:

“Apakah amalan yang paling afdal? Baginda bersabda: Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi: Kemudian apa lagi? Sabda baginda SAW: Haji yang mabrur.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persediaan yang dilakukan mestilah lebih hebat daripada persediaan menghadap seorang raja yang berkuasa. Masuk ke dalam istana mesti membawa imej bersih dan kedudukan terpuji di mata manusia sehingga dia layak dipanggil sebagai tetamu diraja.

Untuk memastikan diri kita layak dipanggil sebagai tetamu Yang Maha Agung, seharusnya disediakan bekalan menuju ke istana cinta-Nya di Tanah Haram iaitu:

* Persediaan ruhiyah.

Langkah pertama wajib dilakukan setiap orang yang berhajat mengerjakan haji ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Sesungguhnya ikhlas itu menjadi rahsia antara Allah SWT dan hamba-Nya, sehingga malaikat pun tidak mampu membuka hijab rahsia itu.

Mereka tidak dapat mengetahui niat manusia walaupun mereka menuliskan apa saja yang dikerjakannya. Ikhlas juga menjadi musuh terhebat bagi tentera syaitan sehingga mereka tidak mampu menceroboh hati manusia yang menyimpan keikhlasan kepada Allah SWT.

Seperti jaminan Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Iblis berkata: Wahai Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang yang diberi tangguh sampai kepada hari yang sudah ditentukan waktunya (hari kiamat). Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” (Surah Shaad, ayat 79-83)

Niat ibadah haji dimulakan dengan kesungguhan membaca kalimah talbiyah. Talbiyah mengandungi janji seorang hamba kepada Allah SWT. Janji untuk mengikhlaskan ibadahnya dengan laungan yang mengalir dari hati yang suci: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Ya Allah, tiada sekutu bagi-Mu. Semua kenikmatan aku tinggalkan, duniaku, tanah airku, harta, istana, anak dan isteri, ayah dan bondaku, pangkat dan jawatanku, aku memilih menyahut seruan-Mu Ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu!”

Semua kenikmatan tidak lagi menyilaukan mata, mempengaruhi hati dan perasaan, melainkan keinginan seorang hamba yang mahu Tuhan menerimanya sebagai tetamu dirahmati. Untuk memperoleh hati yang ikhlas mestilah melalui jalan pencarian ilmu.

Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Semua manusia celaka melainkan orang yang berilmu dan semua yang berilmu itu celaka kecuali yang beramal dan semua yang beramal itu celaka melainkan yang ikhlas. Dan orang yang ikhlas sentiasa terdedah bahaya yang besar.”

Bagaimana mungkin mendapat haji mabrur tanpa ilmu dan keikhlasan, hanya membawa bekalan harta untuk percutian atau untuk mencari gelaran panggilan haji atau hajah. Alangkah terkejutnya orang yang tidak berilmu apabila melihat dugaan mencabar di Tanah Haram sehingga hatinya memberontak menuntut kesenangan yang biasa dirasai ketika di tanah air sendiri.

Di manakah adab sebagai tetamu? Jika lidah tidak bersyukur dan reda menerima ujian ketika berada di rumah Allah SWT, jika hati mengeluh atas layanan Allah SWT kepadanya? Sesungguhnya keindahan ibadah haji itu tergambar dengan perhiasan hati berkilauan.

Dimulakan dengan ikhlas, tawakal, syukur, reda, sabar, warak, zuhud, tafakur, muhasabah dan mahabbah akhirnya bermuara di telaga takwa seperti firman-Nya yang bermaksud:

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) berbuat fasik dan berbantah-bantahan ketika mengerjakan haji dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

* Jasadiyah.

Bekalan pertama sudah disediakan dengan sempurna dan yang tidak kalah pentingnya juga ialah bekalan jasadiyah, tubuh badan yang sihat. Perjalanan yang jauh, tempat tinggal dan keperluan asas kurang selesa, makan minum ala kadar, rehat tidak cukup dan gangguan semasa perjalanan sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan tetamu Allah SWT.

Hakikat itu mesti dihadapi dengan kekuatan jasmani dan penjagaan kesihatan yang rapi sebelum berangkat, ketika di Tanah Suci dan perjalanan pulang kembali. Kadang-kadang ada yang merajuk tidak mahu makan, kesal dengan layanan petugas dan menuntut macam-macam untuk keselesaan. Apakan daya manusia hanya mampu mentadbir namun Allah SWT yang mentakdir.

* Maaliyah

Perbelanjaan untuk mengerjakan haji tidaklah sedikit, jika seseorang memilih untuk melaburkannya, mungkin ia akan mendapat banyak keuntungan dan terus menerus menunda keberangkatannya. Hanya orang yang dipilih Allah SWT mahu menyerahkan hartanya di jalan Allah SWT.

Ia beranggapan harta itu milik Allah SWT, hak Allah SWT dan tidak ada sebab baginya untuk menyimpan, menghitung dan melonggoknya tanpa memberi manfaat untuk agamanya. Sesungguhnya harta yang dikeluarkan untuk mengerjakan haji sama pahalanya dengan nafkah fisabilillah.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Pengeluaran untuk melaksanakan haji sama seperti nafkah fi sabilillah (jihad atau usaha di jalan Allah), satu dirham dibalas dengan tujuh ratus kali ganda.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai orang terikat dengan hartanya sehingga menampakkan sifat kedekut, takut hartanya berkurangan, menghitung setiap sen dikeluarkan dengan perasaan takut jatuh miskin.

Orang yang apabila menerima rezeki mengharap yang banyak tapi jika memberi amat sedikit. Perjalanan haji memaksa seseorang melepaskan rasa terikat kepada harta dan menyerahkan segala kepada Allah. Apabila ketiga-tiga bekalan itu mampu disiapkan maka kejarlah pahala ibadat dengan gembira dan nantikan suasana syurga dalam naungan Kaabah.

- Tajdid Iman. Oleh Dr Juanda Jaya. Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Sumber: Perjalanan haji ibarat menuju ke syurga